“Kami Tetap Bahagia Dalam Kesederhanaan,” Dua Isteri Sepakat Tinggal Sebumbung Jaga Suami Sakit

Dua orang wanita yang hidup bermadu sepakat tinggal sebumbung bagi berganding bahu menjaga suami mereka yang derita penyakit kencing manis tahap empat sehingga kehilangan kaki kirinya pada Oktober lalu, lapor Astro Awani.

Walaupun memiliki kehidupan yang penuh kesulitan, itu bukanlah alasan bagi Noraini Ishak dan Effa Rizam Abd Ghaffar yang masing-masing berusia 42 tahun untuk menunaikan tanggungjawab bagi menjaga dan mengurus suami mereka, Maarof Noordin, 58 tahun.

Menurut Maarof, dia sangat menghargai pengorbanan kedua-dua isterinya itu kerana dia tidak lagi mampu untuk bekerja selepas menjalani pembedahan pada Oktober lalu.

Sebelum kakinya dipotong, Maarof bekerja sebagai tukang rumah dan dalam masa yang sama sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) secara sambilan.

“Saya rasa sedih dan hiba jugalah bila mengenangkan nasib, malah isteri kedua banyak berkorban dan dialah yang keluar mencari rezeki untuk kami.

“Manakala isteri pertama pula membantu menguruskan saya di rumah dan saya amat bersyukur kerana kedua mereka memahami keadaan saya ketika ini.

“Mereka berdua (kedua-dua isteri) adalah hidup dan mati saya. Mereka jaga sakit dan pening saya,” kata Maarof ketika ditemui Astro Awani di kediamannya di Kampung Cherating Lama, hari ini.

Noraini yang merupakan isteri pertama Maarof bertindak dalam membantu menguruskannya di rumah manakala Effa Rizam selaku isteri kedua bekerja mencari rezeki sebagai tukang kebun sekolah dengan bayaran RM1,500 sebulan.

Selain itu, Effa Rizam turut melakukan kerja sambilan sebagai anggota Rela bagi menambah pendapatan mereka sekeluarga.

Noraini isteri pertama dikahwini Maarof pada 2007, manakala Effa Rizam pula genap lima tahun menjadi isterinya pada bulan Mei tahun ini. Kedua-dua perkahwinan Maarof tidak dikurniakan cahaya mata.

Menurut Maarof lagi, doktor telah mengesahkannya mengidap kencing manis pada 2021 setelah kaki kirinya dikesan membengkak selepas digigit semut dan kembali pulih tidak lama kemudiannya.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, doktor segera menasihatkannya untuk memotong kaki kirinya bagi mengelak daripada penyakitnya itu merebak ke bahagian lain.

Sementara itu, Effa Rizam berkata walaupun kehidupan yang dilaluinya mereka bersama sedikit sederhana, itu bukanlah penghalang untuknya mengecapi nikmat kebahagiaan.

“Ini pengorbanan kecil saya sebagai isteri, macam isteri pertama, dia tolong uruskan suami ketika saya keluar bekerja.

“Walaupun kami hidup sederhana, walaupun tidak mempunyai anak tapi kami tetap bahagia dalam kesederhanaan, bahagia cara kami,” katanya.

Effa Rizam turut mengakui dengan pendapatan yang diterimanya itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Gaji saya dalam RM1,500 dan kena bayar sewa rumah lagi (RM400 sebulan), jadi susah jugaklah kehidupan kami,” katanya yang mengakui tidak menerima bantuan lain daripada mana-mana pihak setakat ini.

Dalam masa yang sama, penyelaras sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Amal Team Kuantan, Jamillah Salleh memaklumkan bahawa nasib yang menimpa keluarga Maarof telah mendapat perhatian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk tindakan susulan.

“Buat masa ini, Amal Team sudah memberikan bantuan awal setakat yang kita mampu, macam pek makanan, katil khas dan kerusi roda kepada keluarga Maarof.

“Selain itu, kita juga sedang berurusan dengan MUIP untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah seperti tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan air yang sedang dihadapi keluarga ini,” kata Jamillah Salleh.

Selain itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga Maarof bersama isterinya, boleh menghubungi talian 016-800 6507 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Bagi mereka yang ingin memberikan sumbangan, wang boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 11111 41000 296605 atas nama Maarof Nordin.

Sumber: Astro Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*