Ibu tak kongsi foto anak bermata unik baru lahir, ramai minta nak tengok! Dah tunjuk, bayi disamakan alien, jadi bahan lawak

Wajah Akhtar disamakan dengan makhluk asing oleh kenalan ibunya.

HATI ibu mana yang boleh terima apabila anaknya diherdik.

Itulah yang dirasai Siti Alicesha Zulku, 28, yang meluahkan rasa kurang senang apabila anaknya disamakan dengan makhluk asing.

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Alice menceritakan mengenai keadaan mata anaknya, Muhammad Hud Akhtar Mohd Sukri yang dilahirkan pada 23 September 2022 di Hospital Besar Melaka.

“Saya lahirkan Akhtar secara normal saja. Masa mula-mula tu saya tak perasan apa-apa pada mata anak saya sebab dia banyak tidur waktu ‘bonding’.

“Bila kami dah ditempatkan di wad, ketika menyalin pakaiannya baru saya perasan keadaan matanya. Walaupun terkejut tapi saya cuma anggap ia normal bagi seorang bayi,” katanya.

Bagaimanapun menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, situasi berubah apabila seorang doktor menegur tentang mata anaknya ketika membuat pemeriksaan.

Menurutnya yang menetap di Jasin, Melaka, iris mata anaknya lebih besar sehingga mata hitam kelihatan hampir melitupi seluruh mata.

Doktor kemudian meminta Akhtar ditahan di wad memandangkan bayi itu juga menghidapi jaundis (warna kekuningan yang kelihatan pada kulit) ketika itu.

“Doktor yang perasan lepas tengok mata anak saya. Dia ada bertanya pada saya kalau-kalau ada adik beradik lain yang matanya sama macam tu tapi tak ada pun.

“Dia (doktor) beritahu saya yang dia belum pernah tengok lagi bayi dengan mata sebesar ni. Lepas anak saya dibenarkan pulang, saya tanya dekat nurse bertugas mengenai keadaan mata anak.

“Mereka pun tak boleh jawab. Kebetulan doktor tak ada masa saya keluar wad. Jadi saya pun belum pasti mengenai keadaan mata anak sebenarnya. Lepas habis cuti perayaan Tahun Baharu Cina nanti barulah kami tahu keadaan sebenarnya,” ujarnya.

Alice dan suaminya.

Menurut Alice yang bekerja di sebuah kilang kaca, dia sudah membuat temujanji untuk berjumpa pakar mata di Melaka pada 25 Mac 2023.

Dalam kegembiraannya berkongsi gambar ahli baharu dalam keluarga, dia menerima satu mesej yang menyentap jiwa seorang ibu, daripada seseorang yang menegur mengenai mata anaknya.

Alice berkata, seorang kenalannya menyamakan Akhtar dengan makhluk asing (alien) watak ‘Jadoo’ dalam sebuah filem Bollywood bertajuk Koi Mil Gaya disebabkan bahagian mata hitam anaknya kelihatan besar.

“Sebagai ibu bapa yang teruja menyambut anak keempat kami dalam keluarga, maka banyaklah gambar Akhtar kami ambil. Tapi kami tak tunjuk dekat semua orang.

Kalau dia kata sekali mungkin kita mampu terima, bila dah berkali-kali sampai dijadikan bahan lawak dan perbandingan sumpah saya memang tak boleh terima.

SITI ALICESHA

“Tapi atas desakan rakan-rakan… saya pun kongsikan beberapa keping gambar Akhtar tapi cuma pada kenalan saja. Dari situlah ada yang samakan anak kami macam alien dengan tunjuk gambar Jadoo dalam cerita tu depan-depan muka saya.

“Perasaan saya mestilah sedih, hiba, sakit, walaupun luaran saya mampu tersenyum lagi masa tu. Kalau dia kata sekali mungkin kita mampu terima, bila dah berkali-kali sampai dijadikan bahan lawak dan perbandingan sumpah saya memang tak boleh terima,” luah Alice.

Terkesan dengan kata-kata itu, Alice membuat satu hantaran TikTok memuji mata anaknya yang disifatkan cantik pada pandangan seorang ibu.

Video tersebut menjadi tular sehingga meraih lebih 1.4 juta jumlah tontonan serta dibanjiri dengan pujian oleh netizen.

Keadaan mata Akhtar ketika baru dilahirkan.

Dalam pada itu, Alice turut menitipkan pesanan serta harapan meminta agar netizen mendoakan kesejahteraan Akhtar.

“Saya dan suami akan tunggu penilaian pakar mata menilai keadaan anak kami dulu. Lebih-lebih lagi bila ramai berikan komen di TikTok yang kaitkan penyakit Sindrom Axenfeld Rieger pada anak kami.

“Walau apa pun penyakit Akhtar hidapi, saya cuma minta doa dari anda semua semoga anak saya sihat dan normal macam anak-anak lain,” ujarnya menutup kisah.

Sumber : mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*