“naluri seorang ibu” – Tak senang hati hulur RM5, wanita gigih patah balik derma RM200! Dua beradik jual kuih atas lantai menggigil ambil duit

SETIAP wanita pastinya dikurniakan naluri keibuan.

Melihat anak kecil dalam kesusahan, sudah tentu terdetik hati untuk menghulurkan bantuan dengan apa cara yang dirasakan mampu.

Begitulah juga yang dirasai Nabila apabila melihat dua kanak-kanak berniaga kuih muih, di hadapan sebuah pasar raya.

Menerusi video yang tular, Nabila baru selesai membeli wafel di pasar raya tersebut apabila melihat dua beradik itu sedang duduk bersila di atas lantai sambil menjual kuih yang diletakkan dalam bakul.

Mereka setia menunggu orang yang lalu-lalang untuk singgah membeli aneka kuih dalam bakul yang masih penuh.

“Pergi Lotus sebab nak beli wafel, tapi tiba-tiba ternampak adik dua orang ni jual kuih.

“Dalam bakul banyak lagi, jam dah pukul 9:30 malam,” tulis Nabila dalam video tersebut.

Menurut Nabila, dia sebenarnya telah memberikan wang RM5 kepada dua beradik itu sebelum membuat rakaman video.

Namun dia tidak senang duduk ketika menunggu makanan di medan selera, kerana memikirkan nasib mereka.

Dia kemudian segera berpatah balik kepada kanak-kanak itu untuk mengajak mereka makan bersamanya.

“Dah makan ke belum? Jom ikut akak makan dekat food court,” pelawa Nabila.

Dua beradik itu bagaimanapun menolak pelawaan itu secara baik kerana mereka perlu menghabiskan jualan terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah.

Menerusi rakaman video, Nabila menceritakan mengenai kuih yang dibuat oleh ibu dua beradik berkenaan yang tinggal di Pandan Jaya, Kuala Lumpur untuk dijual di pasar raya.

“Ada berapa banyak lagi? Cuba kira,” kata Nabila yang mempunyai hasrat untuk memborong sehingga licin kuih kanak-kanak itu.

Kuih-muih yang dijual dua beradik itu

Nabila kemudiannya menunggu mereka mengira kuih yang masih berbaki untuk mendapatkan harga yang perlu dibayar.

“Kuih RM2 ada 34 bekas (RM68), yang karipap RM2.50 ada 21 bekas (RM52.50) dan jumlah semua RM120.50,” kata Nabila cuba membuat anggaran kasar.

Tanpa berfikir panjang, Nabila menghulurkan wang tunai sebanyak RM200 kepada dua beradik itu dan menghalalkan bakinya.

Duit baki tu boleh pakai nanti untuk balik naik Grab. Kuih ni semua boleh bagi dekat orang akak sedekah – NABILA

Dengan rasa terharu, si adik dilihat terketar-ketar menerima wang tunai yang mungkin dianggap terlalu besar kanak-kanak itu.

“Duit baki tu boleh pakai nanti untuk balik naik Grab. Kuih ni semua boleh bagi dekat orang akak sedekah.

“Dah jom makan. Akak belanja. Food court dah nak tutup,” kata Nabila lagi.

Tangan si adik menggigil menerima RM200 daripada Nabila

Lebih menyentuh hati apabila Nabila dimaklumkan bahawa mereka hanya mahu menjamah makanan ala kadar sahaja.

“Kami nak makan kedai murah-murah je kak,” jawab adik-beradik itu.

Nabila sempat memesan kepada orang ramai untuk membeli makanan yang dijual dua beradik itu jika terserempak dengan mereka di pasar raya.

“Kalau pergi Lotus nampak adik ni jual kuih, beli tau.

“Kalau tak nak beli untuk diri sendiri pun bagi duit suruh dia bagi kuih tu dekat orang lain.

Antara komen warga maya yang memuji kebaikan Nabila

“Nampak dia orang happy bila kuih dia orang habis,” kata Nabila menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terharu dengan kebaikan Nabila.

“Semoga dimurahkan rezeki selalu kak.

“Subhanallah, terima kasih kerana sudi menolong mereka kak.

“Semoga dimurahkan rezeki dipermudahkan segala urusan akak. Terima kasih orang baik,” kata netizen.

Sumber : Mstar | Penulis Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*