[video]“Bukan Tak Redha Tapi Rindu”-Anak Sebak Saat Jamah Lauk Terakhir Air Tangan Ibu

Tak dinafikan, dalam banyak-banyak makanan di luar sana pasti tidak boleh melawan kesedapan air tangan seorang ibu. Seandainya duduk berjauhan pun pasti akan sentiasa teringat-ingat sehinggakan jika balik ke kampung halaman akan terus minta untuk dimasakkan. Namun, tidak pernah terbayang dek akal andai selepas ini kita tak dapat merasainya lagi.

Terdahulu, seorang jejaka telah memuat naik rakaman dirinya berkunjung ke pusara Allahyarham si ibu. Meskipun pemergian sudah hampir 3 minggu, namun pemuda tersebut akui masih terkilan disebabkan tidak sempat memohon ampun kepada orang tuanya. Malah, kadang kala dia merasakan mahu menangis sepuasnya seolah-olah ingin luahkan rasa rindu yang terpendam dalam hati.

Dalam perkongsian rakaman lain, kelihatan dirinya sedang menikmati sajian yang telah dimasak oleh si ibu sebelum pergi buat selama-lamanya. Setiap kali menyuap makanan tersebut ke dalam mulut, jelas dapat dilihat dia gagal mengawal kesedihan dalam diri. Bagaikan dapat menjangka kehidupannya bakal berakhir, Allahyarhamah sempat masak dan menyimpan banyak hidangan dalam freezer untuk ahli keluarga yang lain.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut berasa sebak melihat klip rakaman berkenaan. Selain itu, masing-masing bersetuju bahawa keenakan air tangan seorang ibu tidak dapat ditandingi oleh orang lain.

Sumber : TikTok 1million.story | KisahDunia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*