
Secara amnya, golongan Hawa mempunyai satu rahim untuk proses menstruasi, implantasi embrio, hamil serta bersalin. Namun begitu, realitinya wujud juga wanita yang dilahirkan dengan rahim berganda. Didelphys uterus merupakan sejenis keabnormalan sejak lahir, yang kadangkala turut mengakibatkan mereka memiliki 2 faraj.
Begitulah kehidupan dilalui seorang wanita istimewa, yang membuka mata ramai pihak melalui perkongsian di TikTok baru-baru ini. Memetik portal Sinar Harian, Nur Hasmidah Hamzah hanya mengetahui dirinya mempunyai rahim berganda pada usia 26 tahun selepas berlakunya satu kejadian. Pun begitu, dia terduduk menangis apabila doktor maklumkan kondisi ini buatkannya sukar atau berdepan banyak risiko jika hamil.
Bagaimanapun, dia tidak merahsiakan perkara tersebut dan suami dapat menerimanya. Mengulas lanjut, kebiasaannya ruang untuk janin bayi membesar agak terhad dalam situasi jarang berlaku ini sekali gus boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi. Namun Hasmidah akui sangat bernasib baik kerana kandungannya tiada masalah sepanjang tempoh kehamilan.
Meskipun dilahirkan dengan 2 uterus, 2 serviks serta 2 faraj, Hasmidah sendiri tidak menyangka mampu beranak seperti wanita normal lain pada 2020. Sambil menitipkan rasa syukur atas kelahiran puteri sulungnya, ibu berusia 31 tahun ini bahkan berharap dapat mengandung zuriat kedua pula selepas ini.
Sumber : KisahDunia Via TikTok nuhabihaa & Sinar Harian
Leave a Reply