
Leher Isteri ‘Dicekak’ Sabit, Suami Pasrah Biar Rumah Dirompak
Seorang suami berdepan detik trauma apabila isterinya ‘dicekak’ dengan sabit di leher, sementara anak-anaknya dikurung dalam tandas selepas rumah mereka dipecah masuk dalam kejadian di Lumajang, Jawa kelmarin.
Menurut Tribun Madura, situasi menjadi lebih rumit apabila mangsa, Endi, 42 tahun terpaksa membiarkan perompak tersebut merompak hartanya semata-mata memastikan nyawa isteri dan anaknya terselamat dan tidak ‘disentuh’.
Difahamkan, harta yang dirompak suspek ialah sebuah motosikal, barangan perhiasan emas dan sejumlah wang tunai kira-kira RM150 yang membawa kepada kerugian keseluruhan sebanyak RM13,500.
Berdasarkan kronologi kes, Endi yang juga merupakan seorang doktor perubatan berkata, segalanya bermula apabila rumahnya dipecah masuk sekitar pukul 2 pagi ketika keluarganya sedang nyenyak dibuai mimpi.
Permulaan rompakan berlaku
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada waktu yang sunyi-sepi, dalam masa sama Endi ketika itu menjadi orang pertama terjaga daripada lena selepas menyedari rumahnya dipecah masuk suspek terbabit.
Jelasnya seperti yang dilapor Tribun Madura, dia terjaga dari tidur ekoran terdengar suara seakan bisikan yang muncul dari pintu belakang rumah.
Justeru, gara-gara rasa curiga mula menyelubungi diri, doktor itu kemudiannya bangun dari katil dan membuka pintu bilik dalam keadaan sedar untuk mengenal pasti punca suara tersebut.
Alangkah terkejutnya apabila dia melihat ada dua orang asing yang tidak dikenali memasuki rumahnya dengan memakai topeng muka supaya wajah mereka tidak dapat dilihat.
“Tiba-tiba di dalam rumah ada dua orang perompak yang memakai kain untuk menutup muka sudah masuk dan mengancam saya dengan sabit,” kata Endi, memetik Tribun Madura.
Difahamkan, kegusaran Endi semakin meningkat apabila salah seorang suspek terbabit masuk ke dalam biliknya dan mengancam nyawa isterinya.
Detik paling genting mula tercetus apabila suspek terbabit mencekak leher isterinya dengan menggunakan mata sabit, manakala anak-anak mereka pula dikurung di dalam tandas.
Melihat nyawa isteri dan anak-anaknya yang sedang dalam bahaya bagai telur di hujung tanduk, Endi akhirnya terpaksa akur kepada setiap arahan yang diarahkan suspek.
Bagi Endi, antara harta dan nyawa, nyawa dan keselamatan keluarganya jauh lebih penting dan sebab itulah dia terpaksa reda rompakan tersebut berlaku.
“Sebab takut dicederakan, saya cuma mampu serahkan saja apa yang diorang nak, apatah lagi bila diorang bagitahu kat luar rumah ada dua lagi geng perompak yang standby.
“Jadi saya makin takutlah,” katanya, menceritakan dirinya terpaksa ‘menyerah’ untuk dirompak berbanding diapa-apakan suspek berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yosowilangun, AKP Hariyanto berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan terhadap kes rompakan tersebut.
Dalam masa sama pihak polis sedang mengenal pasti identiti suspek-suspek terbabit dengan menjejaki langkah mereka menggunakan bantuan daripada unit anjing K-9.
Sumber: Tribun Madura
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Leave a Reply