“Anak Saya Sudah Jadi Anak-anak Syurga..”, Jenazah Dua Beradik Mangsa Kebakaran Selamat Dikebumi

“Anak Saya Sudah Jadi Anak-anak Syurga..”, Jenazah Dua Beradik Mangsa Kebakaran Selamat Dikebumi

JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) — Dua beradik yang rentung dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, di sini semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau hari ini.

Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2, dikebumikan dalam satu liang lahad pada 5.30 petang tadi.

Terdahulu jenazah dua kanak-kanak itu tiba dengan dibawa van ke tanah perkuburan selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Dianggarkan lebih 50 orang termasuk ahli keluarga dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir dalam suasana hiba.

Ibu mangsa Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, ketika ditemui berkata dia hanya mampu meredai pemergian cahaya matanya itu.

“Saya tidak risau apa-apa sebab anak saya sudah jadi anak-anak syurga.

“Cuma rasa sedih sebab saya lihat Zafran (di lokasi kejadian) peluk adik dia..saya orang pertama yang masuk ke rumah selepas kebakaran dipadamkan,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, di sini hari ini.

Semalam, dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik tidur dalam kejadian yang berlaku pada 1.40 tengah hari.

Terdahulu, menurut satu laporan Bernama semalam, dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini tengah hari semalam.

Memetik laporan sebelum ini, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang, yang juga Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, berkata kejadian pada 1.41 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2.

Beliau berkata seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dan Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip dan tindakan pemadaman susulan dilakukan pihak bomba dengan menggunakan jentera fire rescue tender.

“Dua mangsa telah ditemukan rentung di ruangan bilik tidur dan kebakaran telah mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan bilik,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Sumber: Bernama 

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*