
‘Wanita jadian’ tinggalkan dunia mak nyah, hidup makin tenang jadi tukang buat keranda… “Orang tengok atas bawah sebab pelik”
Jun sudah lama meninggalkan gaya pemakaian menyerupai perempuan dan kini fokus terhadap kerjanya sebagai tukang keranda serta batu nisan.
DUA hati, dua jiwa, dua watak dalam satu jasad.
Muhammad Asrul Abdul Kadir, 38, menulis kata-kata itu menerusi satu video di aplikasi TikTok untuk menggambarkan kisah lampaunya yang pernah bergelar mak nyah suatu masa lalu.
Namun semua itu tinggal sejarah apabila anak jati Kedah yang mesra disapa Jun itu kini menceburkan diri sebagai tukang keranda, batu nisan dan kepok kubur sejak kira-kira lima tahun lalu.
Kata Jun, laluan hidupnya kini semakin tenang dengan cara tersendiri.
“Dah lima tahun saya buat kerja ni. Masa awal-awal jadi tukang keranda dan batu nisan, saya masih pakai pakaian perempuan. Orang tengok atas bawah sebab pelik.
“Lama-lama saya fikir, macam mana nak berniaga, nak berdepan dengan pelanggan. Kemudian mak saya meninggal pada tahun 2016.
“Sejak itu saya perlahan-lahan tinggalkan pakaian perempuan. Baju-baju lama masih disimpan, tapi saya dah tak pakai,” ujar Jun yang kini menetap di Alor Setar.
Menurut Jun, dia juga tidak kisah berkongsi gambar-gambar lama ketika dia bergelar mak nyah menerusi aplikasi TikTok kerana penat menjawab soalan sama yang diajukan netizen.
Jelas Jun lagi, dia mahu bersikap jujur dan tidak kisah dengan sebarang tanggapan baik atau buruk yang dilemparkan kepada dirinya.
“Dekat TikTok saya tunjukkan cerita sebenar. Saya jujur dengan followers, jadi orang pun faham. Kalau saya tak tunjuk gambar, orang asyik tanya soalan sama. Saya penat nak jawab.
Selain menyiapkan tempahan orang, Jun turut menyediakan keranda untuk dirinya sendiri.
“Saya dah simpan keranda untuk diri sendiri, kain kafan pun dah siap. Saya maklumkan pada waris, jadi mereka boleh standby, batu nisan pun saya dah siapkan. Simpan kat rumah.
“Sekarang ramai juga yang beli kain kafan untuk diri sendiri sebagai persediaan. Tapi belum ada pelanggan yang tempah keranda untuk diri sendiri,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Jun mempunyai dua akaun TikTok dengan jumlah 21,000 dan 31,000 pengikut yang mana dia banyak berkongsi video-video penghasilan keranda serta batu nisan sehingga meraih perhatian netizen.
Sumber: mStar
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Leave a Reply