Keluar Kata Kesat: Pegawai Imigresen Ditukar Bahagian, Disiasat Integriti

Keluar Kata Kesat: Pegawai Imigresen Ditukar Bahagian, Disiasat Integriti

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) — Seorang pegawai Imigresen yang didakwa mengeluarkan kata kesat kepada orang awam dalam satu kejadian baru-baru ini seperti tular melalui sebuah video, telah ditukar ke bahagian lain dan berhadapan siasatan bahagian Integriti Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya memandang serius kejadian yang dipercayai berlaku di Shah Alam, Selangor itu, walaupun hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur provokasi daripada orang awam berkenaan.

“Bagaimanapun tindakan diambil pegawai terlibat, bertentangan slogan jabatan iaitu “Integriti, Professional, Mesra”. Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata kesat terhadap orang awam tidak sepatutnya dilakukan seseorang pegawai imigresen, yang merupakan penjawat awam,” katanya.

Sebelum ini, tular video di media sosial di mana seorang lelaki berusia 50an berang, kerana tidak mendapat layanan sewajarnya dipercayai ketika membuat pasport di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC), Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Khairul berkata pihaknya berasa kesal dengan tindakan provokasi orang awam berkenaan, namun berpendapat pegawai imigresen seharusnya lebih bijak mengawal diri dan mengambil sikap professional, apabila berdepan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka telah diberi latihan dan tunjuk ajar mencukupi.

“Pelbagai kemudahan telah disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan dalam talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad. Jabatan Imigresen (JIM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini.

“JIM juga ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang bersikap tidak professional, dalam masa sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*