
Pemergian dicemburui, lelaki meninggal ketika solat Isyak
SEORANG lelaki pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi.
Allahyarham Yusri Taib, 51, dikatakan rebah dalam rakaat pertama sebelum disahkan meninggal dunia oleh kumpulan paramedik dari Hospital Sungai Buloh.
Menerusi laporan Utusan Malaysia, Abang Allahyarham, Mat Isa Taib, 56, berkata adiknya bersara daripada TUDM kira-kira sembilan tahun lalu dan menjalankan perniagaan menjahit kusyen dan bantal yang diusahakan bersama isterinya.
Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya, Allahyarham yang tinggal di Saujana Perdana, Sungai Buloh disifatkan sihat.
“Allahyarham mempunyai empat anak berusia antara 16 hingga 23 tahun. Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian,” katanya.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah pada pagi ini.
Sementara itu, kejadian terbabit turut dikongsi pendakwah, Pahrol Mohamad Juoi yang juga jemaah yang menunaikan solat Isyak di masjid tersebut ketika itu.
Beliau berkata, ketika imam membaca surah pertama solat Isyak malam tadi, tiba-tiba kedengaran seorang di belakangnya rebah dengan bunyi suara yang agak kuat ‘Allah’.
“Selepas selesai solat, beberapa orang menerpa untuk memberi pertolongan cemas selain jemaah lain memberi ruang bagi proses pengudaraan yang baik serta mendoakan kebaikan untuknya.
“Bagaimanapun beliau tidak sedarkan diri. Usai solat tarawih diikuti solat witir, dimaklumkan yang jemaah tersebut telah meninggal dunia,” katanya menerusi Facebook.
Pahrol berkata, kematian Allahyarham itu amat dicemburui apabila dijemput Yang Maha Esa ketika menunaikan solat ditambahkan lagi pada bulan mulia iaitu bulan Ramadan.
“Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indah kematiannya…di rumah Allah pada malam Ramadan yang berkah, sedang solat serta sempat mengucapkan nama Allah…Cemburu,” katanya.
Kredit foto : Utusan Malaysia
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Leave a Reply