“Jadilah Suami Yang Pemaaf”, Rahsia Rumah Tangga Bahagia, Ini Pesan Dr. Fadzilah Kamsah Buat Para Suami

“Jadilah Suami Yang Pemaaf”, Rahsia Rumah Tangga Bahagia, Ini Pesan Dr. Fadzilah Kamsah Buat Para Suami

Seorang suami merupakan tunjang dalam pelbagai aspek di sebalik sebuah rumah tangga yang didirikan, seharusnya mereka perlu memiliki sifat pemimpin seperti penyabar dan pemaaf.

Secara umumnya, kaum lelaki juga diibaratkan sebagai khalifah di muka bumi. Fitrah mereka jauh lebih ‘sasa’ dan gagah jika dibandingkan dengan golongan wanita.

Sementara itu, dalam kehidupan berumah tangga pula, para suami perlu memainkan peranan penting dalam mendidik, memimpin dan membentuk dari sudut kerohanian, jasmani dan sebagainya.

Tambahan pula, suami merupakan payung kepada isterinya sejak ikrar taat setia dalam ijab qabul dilafazkan. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab ketua keluarga untuk memimpin isteri tercinta dan bukannya melepaskan perkara yang tidak sepatutnya kepada mereka.

Sehubungan itu, seorang suami perlulah berlembut dengan isteri mereka dalam apa jua keadaan. Untuk itu, mari kita ikuti perkongsian yang dibawakan oleh seorang pakar motivasi terkenal tanah air, Dato. Haji Mohd Fadzilah Kamsah di laman Facebook.

Menjadi Seorang Suami Pemaaf
Buat para suami, jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.

Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga kalian kekal bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

Jika isteri ada buat silap, tegurlah secara hikmah dan berkasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur kita yang mungkin kasar.

Apabila suami kasar, isteri jadi takut, buntu, hiba dan memberontak dalam diam.

Jika kalian mahu mendidik isteri, sentiasa jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai role model. Hidupkan amalan sunnah dalam rumah tangga.

Sebutlah nama Rasulullah tiap kali menyampaikan sesuatu hikmah dan pesanan bermakna untuk isteri. Pasti lembut hati isteri nanti.

Buat semua sahabat Tok Abah yang bergelar suami,

Cintailah isteri sepenuh hati. Cintailah dia tanpa syarat. Semakin bertambah usia, semakin itu juga kalian melihat kekurangannya. Namun jangan pernah lupa, mereka juga melihat kekurangan kita.

Maka, bertoleransilah dalam rumahtangga. Memaafkan. Itu sahaja cara bagi menyemarakkan lagi cinta dalam ikatan suami isteri yang terindah.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,

Sentiasa belajar untuk menjadi suami terbaik setiap hari.

Sumber: Facebook Dato’ Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*